Menurut
Sheikh Dr. Jum'ah Amin, 10 kaedah yang diambil daripada usul fiqh yang
perlu diterapkan sebagai bimbingan bagi umat Islam yang dahagakan
perubahan bagi umat ini:
1. Memberi keteladanan sebelum berdakwah.
Sebagaimanapun
bagusnya seorang da'i dalam berdakwah dan seluas apapun wawasannya
mengenai agama, tapi tanpa ditunjang dengan akhlaq yang dapat diteladani
oleh umat maka niscaya dakwah itu tidak akan pernah berhasil. Oleh
kerana itu perlu adanya keteladanan yang baik dari seorang da'i sebelum
berdakwah.
2. Mengikat hati sebelum menjelaskan.
Sering
sekali seseorang itu tertarik pada sesuatu setelah hatinya merasa
senang terhadap hal tersebut. Setelah seseorang itu senang, maka segala
sesuatu yang ingin disampaikan menjadi mudah untuk dicerna oleh orang
tersebut.
3. Mengenalkan Islam sebelum memberi beban.
Adanya
sebuah pepatah lama yang menyatakan bahawa tak kenal maka tak sayang,
tak sayang maka tak cinta. Oleh kerana itu, dalam berdakwah hendaklah
dimulakan dengan mengenalkan hal hal yang ringan saja dan tidak
memberatkan. Perkenalkan diri kita terlebih dahulu sebagai pemula
bicara.
4. Bertahap dalam pemberian tugas.
Adanya
tahapan dalam pembebanan adalah agar tidak memberatkan para mad'u.
Perlu ambil iktibar daripada prinsip Al-Quran dalam merubah amalan
jahiliyyah dahulu berdasarkan konsep tadarruj. Seorang da'i harus
mendekati mad'u dimulai mengikut tahap pemahaman mad'u, bukannya
mengikut tahap pemahaman sang da'i.
5. Memudahkan bukan menyulitkan.
Sekiranya terdapat pilihan antara perkara yang berat dan yang ringan, maka pilihlah jalan yang lebih ringan. Prinsip umum yang dianut oleh para sahabat ialah tashil (memudahkan) dan musamahah (toleransi)
dalam masalah furu'iah. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa
Nabi SAW bersabda, "Permudahkanlah, jangan dipersulit, besarkan hati
jangan membuat orang lari" (HR. Bukhari)
6. Yang pokok sebelum yang cabang.
Mulakan
dakwah dengan perkara berkaitan akidah telebih dahulu sebelum masuk
kepada masalah-masalah pembebanan dan penetapan hukum-hukum. Dr. Yusuf
Qardhawi berkata, "Di antara sesuatu yang harus dijauhi oleh para
pemuda Islam adalah menyibukkan diri dengan masalah-masalah cabang,
sementara meninggalkan masalah-masalah pokok yang besar dan berkaitan
dengan kewujudan umat dan perjalanannya."
7. Membesarkan hati sebelum memberi ancaman.
Seorang
da'i semestinya terlebih dahulu memberikan khabar gembira kepada mad'u
untuk beramal dengan ikhlas sebelum memberikan ancaman tentang bahaya
riya'. Da'i perlu memberitahu kebaikan dan ganjaran pahala yang akan
diperoleh jika berbuat amal kebaikan kepada mad'u agar mereka tertarik
untuk melakukan amal tersebut.
8. Memahamkan, bukan mengarah semata-mata.
Dalam
usaha untuk memberikan pemahaman kepada mad'u, da'i tidak boleh hanya
menguasai dalil-dalil dan hukum-hukum semata-mata, tetapi harus melihat
dan memikirkan bagaimana semua itu dapat diamalkan dan diterapkan dalam
kehidupan bermasyarakat. Da'i juga perlu melihat kepada bagaimana
kondisi mad'u dan kesediaannya untuk menerima apa yang ingin
disampaikan. Seorang da'i mestilah sentiasa mengutamakan kemaslahatan,
bukan sekadar melaksanakan kerja semata-mata.
Dalam sebuah kisah, ada
dua orang lelaki mengadu kepada Nabi Daud kerana kambing milik salah
seorang daripada mereka telah merosakkan kebun milik yang seorang lagi
sehingga tidak ada apa-apa lagi yang tinggal daripada tanaman tersebut.
Lalu Nabi Daud memutuskan agar pemilik kambing yang merosakkan tanaman
pekebun tersebut agar menyerahkan kambingnya kepada pekebun tersebut.
Kemudian kedua-dua lelaki tersebut keluar menuju kepada Nabi Sulaiman
yang berada di pintu dan menceritakan mengenai keputusan yang telah
diputuskan oleh Nabi Daud terhadap mereka berdua. Kemudian Nabi Sulaiman
masuk ke tempat Nabi Daud dan berkata, "Wahai ayah, seandainya engkau putuskan dengan hukum selain ini, tentu akan lebih menguntungkan bagi semuanya." Nabi Daud bertanya, "Apa itu?" Nabi Sulaiman menjawab, "Pemilik
kambing itu sebaiknya disuruh memulihkan kembali kebun yang telah
dirosakkan oleh kambingnya sehingga tumbuh semula tanaman yang telah
rosak itu. Sementara pemilik kebun boleh memanfaatkan kambing dengan
memerah susunya dan keturunannya. Apabila tanaman itu telah tumbuh
semula, kambing-kambing tersebut dikembalikan semula kepada pemilik
asalnya. Demikian juga kebun yang telah pulih itu dikembalikan semula
kepada pemilik asalnya." Nabi Daud kemudian berkata kepada Nabi Sulaiman, "Engkau telah diberikan taufik wahai anakku." Akhirnya Nabi Daud memutuskan hukuman kepada kedua lelaki tersebut dengan keputusan yang dicadang oleh Nabi Sulaiman.
Sayyid Quthb r.a dalam tafsir Fi Zilal Al-Quran telah berkata, "Keputusan
hukum Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dalam masalah tersebut merupakan
ijtihad daripada keduanya. Ini bukan bererti keputusan Nabi Daud itu
salah, tetapi keputusan Nabi Sulaiman lebih tepat kerana bersumber
daripada ilham."
Alangkah
perlunya para da'i kepada hikmah yang disertai dengan ilmu, dan bukan
sekadar ilmu semata-mata. Betapa buruknya baik mana-mana da'i yang hanya
mementingkan penguasaan dalil dan hukum semata-mata tanpa memikirkan
bagaiamana semua itu dapat diamalkan dan diterapkan dalam kehidupan
bermasyarakat. Seorang da'i mestilah sentiasa memerhatikan situasi dan
kondisi dalam menyampaikan dakwahnya dan selalu mengutamakan
kemaslahatan. Tidak mungkin dakwah akan tercapai hanya dengan
menyampaikan nas-nas secara tekstual semata-mata.
9. Mendidik, bukan menelanjangi.
Jika
diperhatikan, sebahagian dari aktivis dakwah seringkali memalukan objek
dakwahnya di hadapan khalayak ramai. Mereka lupa bahawa orang yang
memerintahkan orang lain untuk melakukan kebaikan, hendaklah juga
menggunakan cara/kaedah yang baik. Kesalahan yang dilakukan oleh objek
dakwah mestilah dirahsiakan. Cuba ambil ibrah daripada kisah Hassan dan
Hussin dalam menegur seorang lelaki tua yang salah dalam berwudhu.
Mereka berdua berjaya menegur kesalahan orang tua tersebut tanpa
mengaibkannya.
10. Murid kepada guru, bukan murid kepada buku.
Di
antara kesalahan paling mendasar yang dilakukan oleh sebahagian da'i
muda adalah mengambil nas-nas Al-Quran mahupun Hadith secara langsung
dan berguru hanya kepada buku tanpa mahu merujuk kepada orang ulamak.
Setiap da'i mestilah belajar dan membuat rujukan daripada para alim
ulamak dan juga orang yang berpengalaman. Keuntungan itu adalah dengan
memetik buah pengalaman dan pengetahuan yang telah dilalui sepanjang
jalan hidup mereka.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar